Friday, December 18, 2009

Utusan Malaysia 15/4/09

Raja Ahmad tuntut jawatan Raja-Raja Bergelar

KUALA LUMPUR 14 April - Seorang lelaki yang mengaku dirinya kerabat diraja Perak memohon ditabalkan ke salah satu dari dua kekosongan jawatan Raja-Raja Bergelar di negeri itu.

Raja Ahmad Nasir Raja Abdullah Azizi mendakwa, beliau memiliki hak untuk menduduki kekosongan itu kerana merupakan waris negeri atau waris dari Sultan Ke-18, Sultan Ahmadin Shah.

"Saya bukan mahu wang, saya hanya mahu kedudukan itu sahaja kerana datuk saya pernah berpesan kepada saya untuk mendapatkannya," katanya di sini hari ini.

Menurut Raja Ahmad, beliau yakin memiliki hak yang sama rata dengan mana-mana waris negeri untuk mendapatkan gelaran tersebut.

Jelasnya, walaupun Istana Perak telah menjelaskan bahawa hanya ahli kanan waris negeri yang layak dilantik, beliau tetap mempertahankan haknya itu kerana yakin dirinya merupakan waris Raja Kulop Mohammad.

Kata beliau, keturunannya sebelum ini tidak pernah menuntut kedudukan Raja-Raja Bergelar kerana mereka telah dikenakan sumpahan yang antaranya menyebabkan terpaksa menggugurkan istilah Raja dalam nama mereka.

Jelas beliau, selepas melepasi sumpah tujuh keturunan itu, barulah beliau berhak untuk memenuhi tuntutan tersebut.

Jelasnya, beliau mempunyai bukti keturunannya yang kukuh dan membolehkan dirinya memohon untuk memenuhi gelaran itu.

Mengikut perundangan Perak, hanya ahli kanan waris negeri iaitu anak-anak kepada Raja Pemerintah, bakal-bakal Sultan dan Raja-Raja Bergelar sedia ada sahaja yang dipertimbangkan untuk mengisi kekosongan Raja-Raja Bergelar jika ada.

No comments:

Post a Comment